Tuesday, September 28, 2010

Pendidikan teras kepada perpaduan kaum


Menurut sumber dari akhbar utusan Malaysia bertarikh 27 Dis 2009, pendidikan merupakan teras utama dalam pembentukan dan perpaduan kaum. Faktor pendidikan menjadi faktor yang paling penting untuk menyatupadukan kaum di Malaysia ini. Bagaimanapun, tiada siapa yang berani untuk tampil kehadapan dan memberi cadangan supaya sekolah satu aliran diwujudkan. Masing-masing tidak berani memecahkan tradisi penjajah setelah 53 tahun kita telah mencapai kemerdekaan. Tetapi, apabila difikirkan semula, ada baiknya jika mewujudkan sistem pendidikan vernakular kerana hanya dengan perkara ini sahaja dapat menutup mulut terhadap tuntutan kaum-kaum tertentu.
Pengalaman yang didapati apabila menyertai khidmat Negara adalah pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan, seperti yang kita ketahui, khidmat negara adalah salah satu cara lagi untuk menyatupadukan kaum kerana ketiga-tiga kaum utama dikehendaki menyertainya, daripada program ini saya telah memahami budaya kaum-kaum lain dan berkawan rapat dengan mereka. Saya juga banyak berkongsi pendapat, bagi saya ini adalah satu perkara yang sangat baik. Saya terfikir,jikalau dari kecil lagi kita didedahkan dengan budaya kaum-kaum lain, sudah tentu kita akan lebih bersatupadu tanpa berfikir negatif tentang kaum-kaum lain dan begitu juga sebaliknya.
Salah satu peristiwa penting yang melibatkan kaum yang terjadi di negara kita ialah peristiwa 13 Mei 1969, dimana berlakunya rusuhan kaum yang mengancam keselamatan negara. Oleh itu langkah awal perlu diambil untuk mengelakkan berlakunya peristiwa seperti itu sekali lagi. Kerajaan menyedari bahawa pendidikan menjadi alat perpaduan untuk membina rakyat yang bersatu padu dan merapatkan jurang kemiskinan. Pembangunan pendidikan mestilah selaras dengan ideologi dan hasrat negara untuk mencapai perpaduan kaum supaya menjadi satu kesatuan nilai untuk menyatupadukan rakyat dan mewujudkan integrasi nasional. Oleh itu, pendidikan adalah sangat sesuai dan penting dalam menyatupadukan kaum. Kerajaan seharusnya mengambil langkah-langkah dan tindakan yang sepatutnya untuk memastikan sekolah satu aliran dapat diwujudkan, dan daripada itu semua kaum akan lebih bersatu padu.
Dari sudut lain, pendidikan satu aliran adalah sangat penting untuk jangka masa akan datang. Ini adalah satu-satunya cara yang paling baik untuk mewujudkan perpaduan kaum berlandaskan pendidikan. Jikalau anak-anak kecil dihantar bersekolah disekolah kebangsaan dan bercampur dengan kaum-kaum lain dari kecil lagi sudah tentu perkara ini membawa kebaikan kepada mereka kerana mereka akan saling memahami budaya masing-masing sejak dari kecil lagi, dan daripada itu perpaduan antara kaum akan lebih erat berbanding sekarang.

No comments:

Post a Comment