Sunday, August 1, 2010

inilah malaysia

Saya bangga lahir di negara Malaysia dan menjadi anak jati Malaysia. Pada pendapat saya Malaysia merupakan sebuah Negara yang unik. Terdapat banyak sebab mengapa Malaysia menjadi sebuah negara yang sering dikunjungi oleh pelancong dari luar negara dan dari dalam negara sendiri.
Selain terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, Malaysia juga terkenal sebagai negara yang mempunyai pelbagai tempat pelancongan yang menarik. Bukan itu sahaja, Malaysia juga kaya dengan bermacam jenis makanan, pendek kata Malaysia ini boleh diibaratkan sebagai tempat yang dipanggil syurga makanan, makanan yang selalu menjadi sebutan ataupun makanan yang begitu sinonim sekali dengan negara Malaysia ialah roti canai dan nasi lemak. Makanan sebegini sudah tentu tidak boleh didapati dan dinikmati di negara luar, itulah dia keistimewaan malaysia.
Dari atas bumi, Malaysia sudah tentu sangat kecil begitu juga jika dilihat dari atas peta, Malaysia sangat kecil dan susah untuk disedari akan kewujudannya. Namun disebabkan kepesatan ekonomi dan menjadi salah satu negara yang sedang membangun, Malaysia menjadi sebuah negara yang sangat dikenali.
Sesuai dengan peribahasa ‘kecil-kecil cili padi, walaupun kecil tapi berisi’ begitulah juga boleh digambarkan dengan negara Malaysia. Bermacam-macam kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan untuk rakyat dinegara ini, terutama sekali dalam bidang pendidikan. Demi untuk kelangsungan kemajuan ekonomi negara kita, kerajaan sanggup berhabis jutaan ringgit untuk memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan ini.
Sudah tentu Malaysia mempunyai strategi sendiri untuk masa akan datang untuk lebih memajukan ekonomi negara. Salah satunya yang dapat dilihat, Malaysia cuba mempromosikan negara dengan bermacam aktiviti yang melibatkan negara luar. Disamping dapat memperkenalkan negara Malaysia, pelancong juga dapat menyelami budaya rakyat Malaysia dengan lebih mendalam dan seterusnya datang ke negara ini. Ini dapat membantu Malaysia dari segi ekonomi. Malaysia juga adalah sebuah negara yang sangat aman. Tiada berlaku peperangan, tiada berlaku bencana alam yang sangat teruk. Semoga negara ini sering berada di bawah lindungan ilahi.
Negara Malaysia dikenali sebagai negara khatulistiwa dimana sesuai dengan cuaca yang tidak terlalu panas dan sejuk. Hutan khatulistiwa juga banyak membantu negara dari segi ekonomi jikalau kita belajar dengan lebih mendalam dari aspek ekonominya. Pokok-pokoknya yang tinggi dan akar yang menjalar hingga ke bawah tanah membantu pokok itu untuk terus hidup dan sekaligus membekalkan oksigen kepada kita. Selain daripada itu, ia juga dapat mengelakkan negara kita daripada berlakunya banjir kilat. Malaysia juga sebenarnya kaya dengan hasil bumi yang juga menjadi sumber utama dalam ekonomi Malaysia.
Bagi saya, Malaysia merupakan sebuah negara yang kecil tetapi sangat mahal. Terlalu banyak keunikan yang ada didalam negara Malaysia yang tidak hanya boleh diungkap dengan kata-kata sahaja. Saya tidak merasa menyesal sekiranya tidak berpeluang pergi ke luar negara kerana bagi saya Malaysia ada segala-galanya dan sangat selamat. Rakyatnya juga sangat peramah dan berbudi bahasa. Sifat tolong menolong pun masih lagi menebal antara satu sama lain. Saya sangat bersyukur dan bangga berada dalam lingkungan negara Malaysia dan lahir didalam negara Malaysia. Saya berharap negara Malaysia kekal berada dalam keadaan aman dan maju walaupun saya tiada lagi didalam dunia ini. Biarlah generasi baru yang menikmati dan terus memperjuangkan keistimewaan yang ada didalam Malaysia. Bak kata pepatah, “ kita bukan mewarisi bumi ini pada generasi sebelumnya, tetapi kita meminjamnya dari generasi yang akan datang”.

No comments:

Post a Comment